Sunday, July 26, 2009

Akal tanpa ilmu, rosaklah manusia

Dengan nama ALLAH, ku mulai tulisan-tulisan dalam blog ini, moga-moga Engkau memelihara akalku, tanganku, dan diriku daripada menulis perkara-perkara yang Engkau murkai. Segala puji-pujian kepada ALLAH. Syukur kepada-Nya, kita masih diberi peluang untuk bernafas dalam nikmat iman dan Islam. Mudah-mudahan kita terus menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Para pembaca yang dihormati,

Sesungguhnya kita manusia dimuliakan dan dibezakan daripada makhluk-makhluk yang lain dengan kelebihan akal fikiran. Dan diangkat darjat akal fikiran kita dengan ilmu yang bermanfaat. Sebaik-baik ilmu adalah yang membawa kita kepada ma’rifatuLLAH; yakni mengenal ALLAH. Tidak kira apa jua jenis ilmu, yang mendekatkan diri kita kepada Tuhan Rabbul Jalil adalah sebaik-baik ilmu. Maka sebaliknya segala apa jenis ilmu yang menjauhi daripada mengenal ALLAH, malah mendatangkan kemurkaan-Nya, itulah seburuk-buruk ilmu. Ilmu yang dicari, dipelajari dan ditimba mestilah mempunyai asas keimanan dan taqwa serta patuh kepada ALLAH. Ilmu yang diredhai ALLAH akan membawa kepada barakah dan kemuliaan.

Dunia hari ini menyaksikan dunia porak-peranda akibat perang di mana-mana sahaja. Peperangan yang berlaku, huru-hara ynag terjadi, bukanlah asasnya kerana ketidak-stabilan ekonomi. Bukan kerana kecelaruan politik yang difahami. Bukan juga kerana masalah perkauman yang terjadi. Bahkan segala kemelut kemanusiaan yang berlaku adalah kerana pertembungan dan perbezaan ideologi. Ideologi yang bercanggah antara suatu pihak dengan pihak yang lain mencetuskan rasa sangsi dan saling tidak percaya mempercayai.

Ideologi yang berbeza adalah berpunca daripada ilmu yang diperolehi. Ilmu dan pengetahuan yang diterima tanpa asas keimanan dan taqwa akan mudah menyesatkan diri. Akal yang diisi dengan ilmu tanpa kawalan Ilahi, menyebabkan tumbuhnya pelbagai ideologi. Ilmu yang terbaik dan paling mujarab bagi menyatukan ideologi-ideologi manusia adalah ilmu al-quran. Al-quran adalah sumber ilmu yang paling baik bagi mengisi potensi akal manusia. Corak pemikiran yang berlandaskan ajaran al-quran akan melahirkan manusia yang baik lagi bermanfaat kepada persekitarannya.

Sahabat-sahabat sekalian,

Dari zaman para nabi dan rasul terdahulu ‘alaihimusSalam, sehingga Nabi kita Muhammad rasuluLLAH S.A.W, sampai kepada kita hari ini, bahkan hingga kiamat kelak, ideologi-ideologi ciptaan manusia akan terus bertembung tanpa titik pertemuan. Malah ideologi-ideologi ini turut menentang ad-deen yang diturunkan ALLAH melalui para nabi dan Rasul-Nya.

Islam adalah ad-deen yang benar, yang diturunkan oleh ALLAH untuk memandu hidup manusia. Islam adalah sistem kehidupan yang sempurna. Islam memandu ideologi, sistem politik, ekonomi, komuniti, akhlak, perundangan, muamalat, sosio-budaya, akal fikiran, nafsu keinginan, emosi - perasaan, tindakan dan sebagainya. Semua permasalahan tersebut, Islam ada penyelesaiannya. Bergantung samada kita benar-benar yakin atau tidak dengan janji ALLAH S.W.T serta usaha yang kita lakukan.

Aqidah Islam berupaya menyatu-padukan manusia yang berbeza status kasta, kaum, darjat kebesaran, jawatan, dan sebagainya. Islam mengajar manusia bahawa kemuliaan sebenar manusia adalah kemuliaan di sisi ALLAH, Tuhan Rabbul Jalil. Tuhan yang menguasai alam semesta. Dan darjah taqwalah yang akan membezakan kemuliaan manusia di sisi-Nya. Dari titik tolak inilah manusia perlu faham bahawa kekayaan bukalah ukuran kemuliaan. Putih warna kulit bukan ukuran kemuliaan. Berdarah keturunan raja bukan kemuliaan. Sekalipun berdarah keturunan nabi, bukan ukuran kemuliaan. Berjawatan besar juga bukan ukuran seseorang itu mulia. Taqwa sahaja parameter kemuliaan yang mesti kita usaha mendapatkannya.

Sekiranya kita berasa megah dengan kekayaan dan memandang hina si miskin, seandainya kita berbangga mendabik dada dengan jawatan besar dan menindas orang bawahan, atau kita berasa lebih mulia daripada orang lain kerana bangsa keturunan kita dan bersikap zalim terhadap bangsa lain, maka ingatlah, sesungguhnya kita telah memilih ideologi yang bercanggah dengan Islam secara sedar ataupun tidak. ALLAH sangat benci kepada orang-orang yang zalim dan melampaui batas.

Sahabat-sahabiyyah sekalian...,

Perjuangan menegakkan Islam di muka bumi adalah perjuangan yang berterusan. Perjuangan yang sudah dilaksanakan nabi dan rasul serta para pengikut mereka, kini disambung oleh kita. Bukanlah kita yang memulakan perjuangan ini, jangan pula kita menjadi orang yang menamatkan perjuangan. Kita adalah salah satu daripada mata-mata rantai yang menyambung perjuangan orang-orang terdahulu. Dan tanggungjawab kita jualah memastikan kesinambungan perjuangan Islam ini kepada generasi seterusnya.

Dari dulu hingga sekarang, sampai kiamat akan wujud golongan yang berjuang menegakkan kalimah ALLAH. Pada masa yang sama, wujud juga golongan yang menentang arus perjuangan Islam ini samada secara terang-terangan ataupun secara sembunyi. Beruntunglah bagi sesiapa yang bersama dengan arus perjuangan Islam samada dengan hartanya, jiwanya, masanya serta sokongannya. Celakalah mereka yang menentang arus perjuangan dan azabnya seperti yang tercatat dalam al-quran. Maka bagaimanakah keadaan kita? Pilihlah jalan mana yang sebenarnya diredhai ALLAH. Jalan manakah harus kita lalui untuk mendapat kemuliaan di sisi-Nya. Kita tidak akan terlepas daripada memilih salah satu jalan-jalan ke syurga atau neraka.

Ada pula yang bertanya, bolehkah tidak memilih ke dua-dua? Hendak membantu perjuangan Islam ditakuti akan dikenakan tindakan, hendak membantu pihak menentang Islam, ditakuti akan terkena azab ALLAH, maka apakah jalan tengahnya boleh diambil dengan tidak menyertai mana-mana pihak? Sesungguhnya pengakhiran kehidupan kita hanyalah syurga atau neraka. Tiada tempat akhir yang ke tiga. Sekalipun kita memilih untuk duduk bersahaja tanpa berbuat apa-apa bagi membantu perjuangan Islam, tidak pula membantu musuh Islam, maka ingatlah bahawa kita tetap akan dihisab oleh ALLAH dengan hisab yang sangat teliti dan rumit. Jika duduk bersahaja kita itu menyebabkan perjuangan Islam mundur, bukankah sama sahaja dengan kita membiarkan musuh Islam menang? Bagaimana pula hisab di akhirat kelak, adakah kita akan terlepas dari “dosa” duduk bersahaja itu?

Sesungguhnya i’tiqad kita, keyakinan kita, kepercayaan kita, komitmen kita terhadap perjuangan menegakkan Islam adalah bergantung kepada keimanan kita kepada ALLAH dan rasul-Nya. Keimanan tidak akan diperoleh melainkan setelah adanya ilmu yang berpaksi kepada ma’rifatuLLAH, yang mencerahi akal fikiran kita. Tanpa ilmu yang benar, manusia akan jahil dan ditipu oleh kejahilan diri sendiri. Mereka akan mencipta fahaman sendiri yang menyimpang dari petunjuk Ilahi.

Tanpa ilmu, professor akan jahil. Tanpa ilmu, segenius mana manusia, dia akan jahil. Jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh, tetapi disebabkan jauhnya mereka dari petunjuk ALLAH. Mereka jahil untuk memilih yang mana perjuangan Islam, yang mana perjuangan menentang Islam. Mereka jahil untuk memilih syurga atau neraka sebagai pengakhiran hidup mereka. Yakinlah janji ALLAH, Islam akan menang jua, terpulang kepada kita samada mahu bersama arus memenangkannya atau gerombolan yang cuba menggagalkannya. Semoga kita diampun oleh ALLAH. Mudah-mudahan ALLAH terus meletakkan kita di atas landasan istiqomah dalam perjuangan meninggikan kalimah ALLAH. Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya.

WaLLAHu a'lam.

0 comments:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP