Wednesday, January 18, 2012

Sahabat Dunia Akhirat

Sahabat sejati adalah sahabat yang kasih- mengasihi antara satu sama lain kerana ALLAH. Sahabat sejati adalah teman rapat yang menjadi rujukan, mendamba nasihat, meminta bantuan dan seumpamanya. Sahabat sejati bukanlah seperti kawan-kawan biasa, atau kenalan-kenalan rapat, bahkan sahabat sejati adalah sahabat ketika senang dan ketika susah. Keikhlasan dalam bersahabat adalah kesabaran dalam mengharungi susah dan senang, tidak mengambil kesempatan ke atas sahabatnya dan sebagainya.

Gambar Hiasan

Dalam engkau memilih individu untuk dijadikan sahabat sejati, para ulama dan ahli tasawuf telah pun memberi saranan kepadamu. Imam al-Ghazali dalam kitab hidayatus-salikin atau yang diringkaskan, bidayatul-hidayah, umpamanya menggariskan beberapa ciri sahabat sejati dan bagaimana mengetahui sifatnya.

Jika kau berbuat baik kepadanya, maka ia juga akan melindungimu;

Jika engkau merapatkan ikatan persahabatan dengannya, maka ia akan membalas balik persahabatanmu itu;

Jika engkau memerlukan pertolongan darinya, maka ia akan berupaya membantu sesuai dengan kemampuannya;

Jika engkau menawarkan berbuat baik kepadanya, maka ia akan menyambut dengan baik;

Jika ia memperoleh suatu kebaikan atau bantuan darimu, maka ia akan menghargai kebaikan itu;

Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik dari dirimu, maka ia akan berupaya menutupinya;

Jika engkau meminta sesuatu bantuan darinya, maka ia akan mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh;

Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), maka ia akan menanyakan kesulitan yang kamu hadapi;

Jika bencana datang menimpa dirimu, maka ia akan berbuat sesuatu untuk meringankan kesusahanmu itu;

Jika engkau berkata benar kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu;

Jika engkau merencanakan sesuatu kebaikan, maka dengan senang hati ia akan membantu rencana itu;

Jika kamu berdua sedang berbeza pendapat atau berselisih faham, nescaya ia akan lebih senang mengalah untuk menjaga.

Memperolehi sahabat sejati bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan dalam masa sehari dua kenal, bahkan ia adalah anugerah ALLAH. Lihatlah bagaimana para sahabat Nabi yang ulung seperti Saiyidina Abu Bakr. Sejatinya persahabatan beliau dengan Nabi SAW bukanlah ketika saat mengetahui Nabi diangkat menjadi Rasul semata-mata, bahkan sejak mula lagi. Saling percaya mempercayai dalam persahabatn inilah, ALLAH mengiktiraf dan memilih beliau untuk menemani RasuluLLAH berhijrah ke Yatsrib (Madinah).

Berkawan bertahun-tahun, bergurau senda, berkerja bersama-sama, belum tentu boleh menjadi sahabat sejati. Ukhuwwah yang dibina atas dasar perkauman, prejudis dan bermotif keuntungan adalah tidak mengupaya untuk mendamba sahabat sejati. Lihatlah bagaimana akhirnya kamu pernah mendengar fenomena 'kawan makan kawan' dan 'kawan tikam belakang' yang menjadikan seseorang itu kecewa dengan persahabatan yang dibina bertahun-tahun.

Sahabat sejati tidak memilih untuk menyakiti hati sahabatnya samada secara jelas terang ataupun secara sindiran dan tersembunyi. Antara formula untuk mengenali seseorang, engkau dianjurkan bermusafir dengannya beberapa hari, barulah engkau dapat menilai watak dan sifat seseorang secara tidak langsung. Ujilah sahabatmu dengan sesuatu yang membuatkan dia sangat marah kepadamu, di mana dalam keadaan sangat marah itu dia masih tenang dan memberi nasihat kepadamu, maka itulah sebaik-baik sahabat yang boleh engkau bersahabat dengannya. Jika sebaliknya ia memarahi engkau dengan marah yang bengis atau mengugut engkau dengan sesuatu, ia bukanlah sahabat yang sejati. Berlepas dirilah engkau darinya, mohon maaf atas kesilapan engkau dan dia adalah kawan biasa semata-mata.

Sahabat sejati tidak akan mengkhianati sahabat dan persahabatannya denganmu. Sahabat sejati adalah sahabat yang benar-benar ikhlas bersahabat denganmu, dan persahabatan itu atas dasar taqwa - berterusan hinggalah ke hari kemudian. Ketahuilah bahawa ALLAH berfirman di dalam al-Quran, bahawa pada hari tersebut (akhirat), teman rapat (semasa) di dunia akan saling bermusuhan , melainkan orang-orang bertaqwa.

الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين

"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa."

Surah az-zukhruf :67

Hanya persahabatan atas landasan taqwa sahaja akan berkekalan hingga ke hari kemudian - menuju syurga ALLAH. Manakala persahabatan yang jauh dari landasan Taqwa akan berakhir dengan permusuhan, paling tidak di hadapan ALLAH kelak mereka akan saling tudng menuding, musuh memusuhi sesama sendiri.

Jika terdapat sahabat bersikap memusuhi, mengkhianati, bermasam muka dan seumpamanya akibat daripada kesilapan engkau yang sedikit terhadapnya, tidaklah layak untuk engkau menjadikannya sahabat. Di dunia lagi sudah menunjukkan sikap demikian, tidak hairan jika di akhirat kelak mereka akan menjadi seperti firman ALLAH yang disebutkan.

Apakah namanya sahabat sejati yang dibina atas ukhuwwah Islamiyyah jika kesilapan yang engkau lakukan dibalas dengan amarah yang melampau, bengis, membocor rahsia bersama, memulau, memaki hamun dan pelbagai kata nista? Maka engkau jangan sekali-kali bersikap demikian kerana ia amat jauh dari akhlak akhlak bersahabat.

janganlah engkau menyakiti sahabatmu. jika dia melakukan kesilapan, tegurlah dia dengan baik. Jika dia enggan berubah kepada kebaikan, janganlah engkau mengejinya. berilah amaran tentang akibat buruk yang akan menimpanya sekiranya berterusan melakukan sedemikian. Jika dia tetap berdegil, berlepas dirilah engkau daripadanya dengan cara yang baik. Jangan sekali-kali engkau mengkhianatinya, kerana kelak pasti engkau akan dikhianati jua. ALLAH itu Maha Adil dan Maha Membalas setiap perbuatan hamba-Nya.

Jadilah sahabat sejati kepada sahabat engkau, semoga engkau memperoleh sahabat yang sejati, yang akan bersama-sama menuju ke syurga ALLAH.


WaLLHU a'lam

Sunday, December 4, 2011

Jemputan Kenduri

Assalamualaykum...

Jemput ke Majlis Kesyukuran Kenduri Walimah

Segala Pujian bagi ALLAH, yang menciptakan lelaki dan perempuan, serta berkabilah-kabilah...
Tanpa menaip panjang, saya mewakili ayahanda saya menjemput kalian semua,
rakan-rakan sepembelajaran, sahabat-sahabiyah seperjuangan, guru-guru, para pensyarah,
bersama
keluarga ke majlis kenduri kesyukuran tersebut pada:

21 Muharram 1432
17 Disember 2011 - SABTU

bertempat di No. 22, Kg Haji Lateh Bt 12, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Peta lokasi - rujuk attachment.

Terima kasih

=======================================

Peace upon you,
Praise to ALLAH, who created men and women, and tribes...
I invite you and your family to my wedding party:

Saturday
21 Muharram 1432
(17 December 2011)

at
No. 22, Kg Haji Lateh Bt 12, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Alor Setar.
map - see attachment.

Thank You
=======================================

السلام عليكم,
...الحمد لله الذي خلق الذكر والأنث والقبائل
أنا دعوة لك ولعائلتك لحزب زفافي :
(وليمة العروسة)

في يوم السبت
١٤٣٢ محرم ٢١
٢٠١١ ١٧ ديسمبر

علامة في

قرية حاج لاتيه, بوكيت بسر, كوتا سارانج سموت, ألور ستر

شكرا
===================================

和平与你,
赞美真主,谁创造了男人和女人,和部落...
我邀请您和您的家人,我的婚礼派对:

21 Muharram 1432 回历
17 December 2011
SATURDAY (星期六)

地址:
No. 22, Kg Haji Lateh Bt 12, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Alor Setar.
地图 - 见 附件

谢谢你


Tuesday, August 10, 2010

Perutusan Ramadhan 1431 H

BismiLLAHi-rRahmani-rRahim...

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
"Hai Orang-orang beriman, telah ditulis (difardhukan) ke atas kamu Puasa sebagaimana telah ditulis (difardhukan) ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Ramadhan bertandang lagi. Orang-orang beriman ternanti-nanti akan kedatangannya. Manakala orang-orang fasiq gelisah dengannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang ternanti-nanti kedatangan bulan yang penuh barakah ini dengan segala persediaan yang mencukupi. Biarlah Ramadhan kali ini memberi suatu makna pengabdian diri yang terbaik selama hidup kita sehingga hari ini.

ALLAH menjadikan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. ALLAH menciptakan manusia dalam keadaan pelbagai rupa, warna kulit, bangsa dan keturunan untuk manusia mengenali antara satu sama lain. Dalam kewujudan bilangan manusia yang berbilion-bilion sejak zaman dahulu hingg kini, sehinggalah pula hari kiamat, kualifikasi darjat kemuliaan manusia di sisi ALLAH hanyalah taqwa. Barangsiapa yang paling bertaqwa kepada-Nya, pastilah dia yang paling mulia. ALLAH tidak memandang manusia itu cantik atau hodoh, hitam atau putih, Melayu atau Cina, Arab atau Ajam, bos atau kuli, akan tetapi nilai kemuliaan manusia adalah Taqwa atau pun tidak. Semakin tinggi darjah ketaqwaan manusia, semakin tinggilah pula darjat kemuliaannya di sisi ALLAH.

Apa itu Taqwa? Menurut takrif mudah, taqwa adalah imtitsalul awamir, wajtinabun-nawahi (melaksanakan segala perintah, meninggalkan segala larangan). Menurut Sayidina Umar al-Khattab, “ Taqwa adalah umpama kamu berjalan penuh hati-hati di dalam hutan yang penuh dengan duri dan onak, supaya tidak terpijak duri dan onak tersebut.”

Dalam kesibukan kita mengharungi hidup di dunia, kita sering lupa akan peringatan-peringatan ALLAH. Sehingga ada yang mula mencari kemuliaan-kemuliaan duniawi. Jesteru itu khutbah Jumaat adalah satu program khas mingguan yang ALLAH sediakan untuk kita hamba-hambanya, yang di dalamnya mengingatkan kita bahawa hanya dengan Taqwa sahaja kita akan menjadi mulia di sisi ALLAH.

Apabila ALLAH menetapkan bahawa nilai kemuliaan manusia adalah hanya berdasarkan Taqwa, sudah tentu ALLAH menyediakan mekanisme-mekanisme khusus untuk hamba-hamba-Nya berusaha mencapai ketinggian tahap ketaqwaan. ALLAH tidak membiarkan manusia terkapai-kapai mencari jalan-jalan taqwa sendirian. ALLAH menunjukkan kaedahnya. ALLAH memberitahu formulanya. ALLAH menghadiahkan kepada kita tangga khas untuk mencapai darjat Taqwa. Maka, fadhu puasa dalam bulan Ramadhan adalah salah satu hadiah istimewa daripada ALLAH untuk memudahkan kita mendapatkan nilai taqwa yang tinggi.

Marilah sama-sama kita berusaha menggandakan amalan kita dalam bulan Ramadhan kali ini. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH membantu kta dalam mengerjakan ibadah kepada-Nya. Selamat Berpuasa. Salam Ramadhan el-Mubarak.

Tuesday, July 20, 2010

Apabila bangun pagi, niatlah empat perkara...

BismiLLAHirRahmanirRahim...

Hai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar Taqwa.

Bertaqwalah kepada ALLAH dengan menjunjung segala titah perintah-Nya, serta menjauhi segala larangan-Nya, mengikut apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadits Nabi ShollaLLAHU ' alaihi wasallam.

Dan turutilah amalan para khulafa ar-rashidin, para shabat, para tabi'een, para ulama' dan hukama', agar kita terselamat dan mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat.

Berkata sahabat nabi: apabila engkau berpagi, jangan engkau tangguh kepetang dan apabila petang, jangan engkat tangguh sampai pagi.

Ambillah daripada hidupmu sebelum mati, dan dari sihatmu sebelum sakitmu, kerana sesungguhnya engkau tidak mengetahui apakah kejadian esoknya.

Berkata setengah ulama, apabila bangun seseorang dipagi hari, hendaklah ia berniat dengan empat perkara:

Pertama menunaikan apa yang difardhu oleh ALLAH
Kedua menjauhi segala yang dilarang
Ketiga menginsafi apa yang berlaku diantaranya dengan orang lain
Keempat memperbaikkan atau mendamaikan sebarang sengketa antaranya dengan orang lain.

Apabila ia pada waktu pagi lagi berniat begitu, insyaALLAH ia termasuk dalam golongan orang solihin.

Friday, June 25, 2010

DOA SUPAYA DIMUDAHKAN URUSAN DAN DIRINGANKAN



رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلاَنَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"

(Al-Baqarah : 286)

Monday, March 1, 2010

Orang-orang beriman itu saling menasihati...

Dalam surah al'Asr, ALLAH berfirman:

"Demi masa! Sesungguhnya semua manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kebenaran."

Asas makna al-’Asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah.

Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat sepertimana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang bermaksud:

"Dan Kami menurunkan dari awan (mu’siraat) , air hujan yang mencurah-curah."

Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu ‘memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.

"Demi masa!" ALLAH tidak bersumpah melainkan dengan nama makhluk ciptaan-Nya yang Dia berkehendak memperlihatkan kehebatan-Nya mencipta makhluk tersebut. Masa adalah salah satu makhluk ALLAH yang sangat ajaib dan hebat. Hanya orang-orang yang mahu mengambil iktibar sahaja akan mengagumi kehebatan makhluk ciptaan ALLAH yang bernama "masa".

Ketahui oleh kamu semua, demi masa, semua manusia itu telah rugi, sedang rugi dan akan terus mengalami kerugian. Apabila sesuatu ayat atau surah itu ALLAH mulakan dengan perkataan sumpah, bermakna ayat atau surah itu sangat mengajak kita memberi perhatian bahawa ada sesuatu yang sangat penting untuk kita ketahui. Apa dia? Sesungguhnya semua manusia kerugian. Siapa manusia itu? Semua manusia termasuk kita kah?

Ya, semua manusia adalah dalam kerugian biar apa pun posisi dalam kehidupannya. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan, nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Selain orang orang ini, semuanya kerugian.

Hanya dengan beriman, beramal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, manusia akan terkeluar dari mengalami kerugian.

Bagaimana keadaan orang-orang beriman dan beramal soleh itu?

Orang orang beriman itu adalah orang-orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, patuh pada Rasulnya, tidak meninggalkan solat fardhu, menginfaq sebahagian harta mereka, tidak berbohong dalam percakapan, tidak memungkiri janjinya, tidak khianat pada amanah yang diberikan kepadanya, tidak mencerca sahabatnya, tidak menderhaka kedua ibu bapanya, menghormati jiran tetangganya, menghormati orang-orang yang lebih tua darinya, menyayangi orang yang lebih muda darinya, taat pada pemimpin yang bertaqwa, bersederhana dalam tindakannya, lembut percakapannya, tidak berlebih-lebihan dalam pertikaian sesama mukmin, menjauhi dosa-dosa besar, meminimumkan dosa-dosa kecil, tegur menegur sesama saudara mukminin, tolong menolong sesama manusia, yakin akan ketentuan ALLAH, dan seumpamanya.

Untuk terus keluar dari kerugian, orang-orang beriman dan beramal soleh mestilah tidak meninggalkan seruan "berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Apabila berlaku perselisihan antara dua orang bersaudara, nasihatilah mereka supaya berdamai. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara dan berlemah lembut terhadap saudaranya.

Sabda RasuluLLAH S.A.W:

"Tanda munafiq itu ada tiga. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat"

dalam hadis lain RasuluLLAH S.A.W bersabda:

"Tanda munafiq itu ada empat. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat. Apabila bertengkar ia berlebih-lebihan (melampau)"

RasuluLLAH mengharamkan perkelahian orang-orang mukmin melebihi tiga hari tiga malam sesama saudaranya.

‏حدثنا ‏ ‏يحيى بن يحيى ‏ ‏قال قرأت على ‏ ‏مالك ‏ ‏عن ‏ ‏ابن شهاب ‏ ‏عن ‏ ‏عطاء بن يزيد الليثي ‏ ‏عن ‏ ‏أبي أيوب الأنصاري ‏
‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لا يحل لمسلم أن ‏ ‏يهجر ‏ ‏أخاه فوق ثلاث ليال يلتقيان فيعرض هذا ويعرض هذا وخيرهما الذي يبدأ بالسلام ‏


Hadis Abu Ayub Al-Ansari r.a:

"Sesungguhnya RasuluLLAH S.A.W bersabda: Tidak halal bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam"

Orang-orang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat adalah sangat memuliakan jirannya.

Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa RasuluLLAH S.A.W bersabda :

“ Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya “

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sekian untuk kali ini...

Marilah kita semua menghindari diri dari terlibat dengan gejala yang menjadikan kita rugi di sisi ALLAH.


WaLLAHU a'lam.
Rujukan:

Friday, January 8, 2010

Manusia angkuh tidak mengambil iktibar

بسم الله الرحمن الرحيم

ألمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ (31
Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakannya dan mereka tidak lagi pulang kepada mereka

وَإِنْ كُلُّ لَّمَّا جَمِيْعُ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ (32
Dan setiap orang dari mereka pasti akan dihadirkan di hadapan Kami

[Surah Yasin 31-32]

Dua ayat dari surah Yasin di atas, sering kita baca ayatnya dan kadang-kadang pula kit abaca maksudnya. Namun berapa ramaikah antara kita memahami dan menhayati peringatan ALLAH tersebut. Bukankah kebinasaan umat-umat terdahulu adalah akibat daripada kesombongan dan keangkuhan mereka terhadap ayat-ayat serta peringatan-peringatan ALLAH melalui para Rasul-Nya, sedang mereka itu tidak sekali-kali dapat kembali menceritakan kepada generasi selepas mereka bagaimana mereka dimusnahkan. Ketidak-pulangan mereka bukanlah bererti hukuman mereka sampai di situ sahaja, bahkan mereka akan kembali menghadap ALLAH pada hari yang dijanjikan-Nya.

Maka apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran dan mahu terus berdegil membelakangkan teguran-teguran ALLAH? Sedangkan jika seekor haiwan melihat ‘rakannya’ binasa akibat sesuatu, ia akan terus lari mengelak daripada menjadi binasa seperti rakannya itu. Akan tetapi kebanyakan manusia sering pula melakukan perkara yang sama, sedangkan sudah mengetahui bahawa perlakuan itulah yang telah memusnahkan umat-umat terdahulu. Begitulah rupa manusia yang angkuh sekalipun ianya tidak punya apa-apa. Manusia bongkak dengan kelebihan yang ALLAH pinjamkan kepadanya. Lantaran itu, semuanya menjadi hijab yang menutupi hatinya daripada mengambil ibrah dan pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang menimpa umat-umat sebelum mereka.

Lebih-lebih lagi umat manusia akhir zaman ini. Sekalipun ramai yang mengetahui bahawa dunia semakin sampai ke penghujungnya, mereka tetap angkuh dan berdegil terhadap ayat-ayat ALLAH. Malah mereka terus berusaha 'mencari' jalan untuk 'melawan' kuasa ALLAH. Malah musuh-musuh Islam terus pula meracuni fikiran umat manusia dengan propaganda bahawa dengan kecanggihan teknologi, manusia boleh selamat dari bala yang ditimpa kepda mereka. Mereka bagaikan boleh menyelamatkan diri dari dibinasakan dengan kecanggihan teknologi. Lihat sahaja proaganda filem 2012. Angkuhnya manusia. Kisah-kisah kebinasaan umat terdahulu tidak menjadi pengajaran kepada mereka, melainkan hanya kepada orang-orang yang bertaqwa sahaja.

Mansisa disuruh mentadbir dunia dengan ketetapan-ketetapan yang digazet oleh ALLAH, namun kebanyakan manusia memilih hukum rekaan sendiri dan hukum ALLAH yang dipinda-pinda menurut hawa nafsu mereka. Walhal, sejarah telah membuktikan umat terdahulu binasa kerana hal yang sama. Manusia tidak punya formula ajaib untuk memulih penyakit umat, tetapi mereka menolak formula yang ALLAH kirim melalui Rasul-rasul-Nya. Mereka menolak mentah-mentah formula iman dan taqwa.

Sekarang dunia menuju kepada kehancuran. Kehancuran fizikal disebabkan kerakusan tangan-tangan manusia. Dan juga kehancuran akhlak, moral dan spiritual umat manusia. Sekalipun diambang kehancuran, manusia masih tidak tebuka hati untuk kembali kepada ajaran ALLAH bagi memulih keadaan. Manusia terus bongkak dan berlagak dengan ilmu dan kelebihan diri sendiri. Mereka masih 'selamat' kerana ALLAH maha ar-Rahman. Tetapi mereka lupa, salah satu nama ALLAH adalah al-Jabbar.

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP