Damaikanlah, jangan bercerai-berai kerana kita bersaudara
بسم الله الحمن الرحيم
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali ALLAH, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat ALLAH, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. "
[Surah A~li 'Imran:103]
Wahai sahabat-sahabat, jadilah kamu orang-orang yang faham dan ikhlas dalam berjamaah. Berpganglah kamu pada tali ALLAH. Agama ALLAH. Janganlah kamu bercerai-berai kerana perselisihan pendapat. Kembalilah kepada matlamat sebenar perjuangan kita, yakni Amru bil-Ma'ruf, wannahyu 'anil-munkari, watu^minuna biLLAH. Kita fahami bahawa tugas ini besar dan tidak terpikul secara sendirian. Gerak kerja ini memerlukan kerjasama kita dalam bentuk berjamaah. Berjemaah memberikan kekuatan kepada gerak-kerja kita, dan membuka jalan keluar kepada permasalahan yang timbul.
Justeru itu, telah digariskan kepada kita beberapa ciri dan akhlak dalam berjamaah, supaya kita dapat meneruskan aktiviti dakwah dengan lebih berkesan bersama-sama sebagai satu pasukan. Konsep taat, wala', kerahsiaan, hati-hati, musyawarah, dan sebagainya perlu difahami dan mematuhinya dengan penuh disiplin dan berakhlak. Konsep taat dan wala' perlu difahami dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan kita menjadi tidak wala' kepada pimpinan, dan tidak pula menyalah-tafsirkan konsep wala' seolah-olah menurut perintah membuta-tuli. Kerahsiaan dan hati-hati perlu dijaga dengan baik dan penuh amanah. Musyawarah adalah elemen penting dalam membuat sebarang keputusan, terutamanya peringkat dasar.
Adat hidup berjamaah, masing-masing mempunyai cara berfikir yang pelbagai. Mempunyai variasi kefahaman bergantung kepada latar belakang dan sikap seseorang. Sebagai anggota jamaah, kita perlu sematkan dalam hati bahawa setiap sahabat kita mempunyai pendirian masing-masing. Kita punya pendirian, dia juga ada pendirian, dan mereka yang lain juga punya pendirian. Samada pendirian mereka sama atau berbeza dengan kita, kita perlu iktiraf, itulah pendirian mereka. Jika mahu pendirian kita dihormati, kita perlu belajar menghormati pendirian orang lain jua, sekalipun kita rasa pendirian mereka itu salah. Mungkin mereka juga menganggap pendirian kita pula tidak benar. Hal ini dapat diatasi dengan adanya musyawarah.
Setiap perbezaan pendapat dalam musyawarah mestilah diurus dengan baik dan bijak. Emosi yang keterlaluan boleh merencatkan proses mencapai kata sepakat. Elakkanlah sikap mempertahankan pendirian itu disertai dengan emosi yang tidak terkawal. Sikap demikian bukan sahaja boleh merenggangkan hubungan persaudaraan, malah bolehmenyebabkan orang-orang bersaudara itu bercerai-berai. Bukankah ALLAH sudah melarang kita daripada bercerai-berai?
Beberapa garis panduan dalam bermusyawarah yang patut kita ambil perhatian. Antaranya:
Niat ikhlas
Awal dari segalanya adalah niat. Pun demikian dalam bermusyawarah. Niatkan bahwa apa yang akan dilakukannya untuk kemaslahatan, dan karena Allah saja.
“Tidaklah iman seseorang itu menjadi lurus hingga lurus hatinya. Tidaklah lurus hatinya hingga lurus lisannya.” (HR Ahmad)
Mulai dari kanan
PMualakan musyawarah dengan memohon izin dan bimbingan ALLAH dengan bacaan basmalah. Setelah itu, mulailah giliran mengemukakan pendapat yang dimulai dari sebelah kanan. Berikan kesempatan mengemukakan pendapat secara adil kepada masing-masing musyawirin (peserta musyawarah) sehingga tidak ada di antara mereka yang terkurangi hak-haknya.
Kendalikan Lisan
Lidah tidak bertulang, demikian kata orang. Oleh sebab itu, sebelum bicara fikirkanlah secara matang, kendalikan lisan, apakah pendapat yang akan dikemukakan membawa manfaat atau justeru melahirkan kemudharatan. Jika pendapat kita tidak diterima, ucapkanlah hamdaLLAH ( al-hamduliLLAH). Sebaliknya, jika diterima, ucapkanlah istighfar `Astaghfirullah hal adzim'. Sebab, boleh jadi pendapat kita itu tersembunyi kemudharatan disebaliknya yang kita tidak nampak. Jika ditolak, kita bersyukur kerana keputusan jemaah mungkin menyelamatkan keputusan musyawarah itu daripada kejahatan yang tersembunyi. Manakala jika pendapat kita diterima, kita beristighfar mohon ampun kerana bimbang lontaran idea kita itu boleh membawa kemudharatan yang kita tidak sedari, yang akan dilaksanakan kerana sudah diterima dalam musyawarah.
Apabila didapati ahli musyawarah keluar dari konteks bahasan, ingatkanlah dengan subhanaLLAH. Dan apabila orang mengemukakan pendapat, dengarlah dengan penuh perhatian. Jangan sama sekali memotong pembicaraan orang lain sebelum selesai pembicaraannya. Berdoalah agar ALLAH melimpahkan hidayah-Nya dalam musyawarah itu dengan memperbanyak zikir dan selawat.
Jangan Berfatwa Tanpa Ilmu
ALLAH berfirman:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, pengetahuan, dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” Surah Al-Isra': 36)
Begitupun, jangan membantah hujah dan pendapat orang lain tanpa mempelajari permasalahannya. Barangsiapa tidak tahu, tidak patut baginya memberi komen kepada orang yang tahu. Janganlah pula bersikap fanatik terhadap suatu pendapat yang tanpa disedari pemahaman, petunjuk, dan bukti. Imam Malik pernah ditanya, dan menjawab: “Saya tidak tahu.” Dia menjauhkan dirinya dari berfatwa tanpa ilmu. ALLAH Maha Pengasih kepada sesiapa saja yang memahami kadar kemampuan dirinya.
Jangan Terlalu Mendominasi
Janganlah mendominasi pembicaraan hanya kerana ingin dikenal pandai berbicara, luas pengetahuan dan berwawasan jauh. Mendominasi perbicaraan bukanlah tanda keluasan wawasan seseorang, tetapi ketamakan. Berilah juga peluang kepada orang lain mengemukakan pandangan. Jangan pula kerap memintas perbicaraan orang lain kerana itu mungkin akan merencatkan isi sebenar penyampaiannya.
“Dan sesungguhnya orang yang paling Aku benci dan paling jauh majlisnya dari-Ku pada hari kiamat adalah orang-orang yang berlebihan dalam bicara, yang suka mendominasi orang lain dengan perkataannya dan yang menunjuk-nunjukkan mulut besarnya dengan kata-kata untuk menampakkan kelebihan di hadapan orang lain.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)
Rendah Diri
Apabila kita mengetahui ada orang yang lebih berlayak dan lebih berilmu, lebih baik kita mendengar darinya daripada berbicara. Ingat pesan Hassan bin Ali r.a kepada anaknya: “Wahai anakku, jika engkau mengikuti pembicaraan ulama, hendaknya engkau lebih banyak mendengar daripada berbicara. Belajarlah menjadi pendengar yang baik sebagaimana engkau menjadi pembicara yang baik. Dan janganlah memotong pembicaraan meskipun panjang lebar, hingga ia menyelesaikannya sendiri.”
Suara majoriti bukan selalunya benar
Kebenaran tidak selalu dapat diukur dari suara majoriti. Apatah lagi jika hal itu berkaitan dengan kehadiran ahli musyawarah. Kadang-kadang pendapat seorang yang lebih berilmu dan berpengalaman lebih diterima. Sebab itu pendapat dan hujah seorang yang ahli, tidak mudah dikalahkan oleh ahli musyawarah lain yang lebih ramai, yang kurang mahir tentang hal perbincangan itu. Perkara ini bukanlah diskriminasi. Bukankah pendapat seorang doktor tentang hal ehwal penyakit seorang pesakit tidak dapat dibantah oleh sekalian pendapat para jururawat atau seluruh pegawainya meskipun mereka semua tidak sependapat? RasuluLLAH juga pernah bersabda, bahawa bila urusan diserahkan pada yang bukan ahlinya, tunggulah kehancurannya.
Hindari Permusuhan
Terkadang suasana musyawarah dipanaskan oleh perdebatan dan perbezaan kefahaman. Jika sudah demikian, berhati-hatilah dengan tipu daya iblis yang membisikkan seolah-olah kita berbicara kebenaran, padahal sesungguhnya itu hanyalah disebabkan nafsu dan sikap kita yang tidak menyukai seseorang, ingin menjatuhkan seseorang, atau ingin menunjukkan diri kita lebih bagus daripada orang lain.
“Sesungguhnya, larangan yang pertama ditujukan kepadaku setelah penyembahan berhala adalah perdebatan (yang dibayangi permusuhan).” (HR Imam Bazar dan Thabrani dengan sanad lemah).
Bukan menghantam sesiapa
Tidak jarang musyawarah menjadi medan menghentam orang lain. Seolah-olah musyawarah itu kesempatan membuka kelemahan orang lain, di hadapan orang banyak. Hal ini sangat tidak sesuai dengan akhlak Islam. Hindarilah sikap melampaui batas; membuka aib dan merendahkan sesama saudara dan sahabat.
Memahami Perbezaan Pendapat
Perbezaan pendapat bukanlah persoalan yang membahayakan, jika didasari keikhlasan dan diterima dengan lapang dada, sikap toleransi, dan kasih sayang. Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Pendapat kami benar, namun memiliki kemungkinan salah, dan pendapat orang lain salah namun memiliki kemungkinan benar.”
Tidak perlu khuatir, terimalah hasil musyawarah yang mungkin berbeza dengan pendapat kita, kerana RasuluLLAH memberi jaminan: Jika ijtihad kita benar, kita akan dapat dua pahala. (yakni pahala ijtihad dan pahala benar - yang membawa kebaikan setelah dilaksanakan). Sebaliknya, jika salah, (juga) tetap akan dapat satu pahala (yakni pahala ijtihad).
Tutup dengan Istighfar
Setelah tahap-tahap musyawarah dianggap selesai, agar majlis kita tidak bernilai lagha (sia-sia), tutuplah majlis tersebut dengan memohon ampun kepada ALLAH dengan doa penutup majlis (tasbih kafarah), سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك SubhanakaLLAHumma wabihambika asyahadu alla ilaha illa Anta ashtaghfiruKa wa atuubu ilaiK, mungkin ada, tersalah bicara, terkasar bahasa, atau kealpaan yang dilakukan pada saat berlangsung musyawarah.
Disamping panduan di atas, sikap kita sendiri sangat perlu untuk memelihara ukhuwwah kita sesama Islam, lebih-lebih lagi sesama ahli jemaah. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Masing-masing saling melengkapi. Tidak perlu kita mengatakan orang ini bercakap saja, buatnya tidak. Tidak perlu juga kita menuding jari yang orang inilah penyebab kepada masalah itu dan ini. Bukankah ALLAH menyuruh kita mentaati ALLAH dan Rasul-Nya serta pemimpin dalam kalangan kita? Sekiranya berlaku pertikaman lidah, perselisihan faham, ALLAH menyuruh kita kembali merujuk ALLAH dan Rasul (yakni Al-Quran dan Hadis). Tidak pula kita disuruh merujuk kepada pemimpin tadinya, kerana ALLAH Maha Mengetahui, bahawa sifat manusia akan mudah bias kepada pihak tertentu jika terlibat dalam perselisihan.
Firman ALLAH:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
"Hai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin dalam kalangan kamu, maka sekiranya kamu berselisih pada sesuatu perkara, maka kembalilah kepada ALLAH dan rasul sekiranya kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Demikian itulah yang terbaik dan baik pula kesudahannya. "
[Surah an-Nisa' :59]
Dan janganlah pula wujud dalam jemaah pihak yang tidak mampu bertoleransi, dan tidak pula yang mudah merajuk membawa diri. Semua ini akan merugikan diri sendiri. Bukankah selama ini kita sudah menganggap diri kita faham dan kita pun sudah pula memberi kefahaman kepada orang lain mengenai Jemaah dan Islam itu sendiri? Tidak wajar kerana permasalahan kecil, keharmonian berjemaah tergugat. Ingatlah, kita berjuang bukan kerana individu atau sesiapa. Letakkan perjuangan kita kerana ALLAH dan Rasul, insyaALLAH kita akan terus berada dalam landasan.
Akhir sekali, mohon ampun dan maaf sekiranya catatan ini mengandungi silap dan salah dalam penyampaiannya. Semoga kita saling betul membetuli sesama kita. WaLLAHu a'lam...
Akhir sekali, mohon ampun dan maaf sekiranya catatan ini mengandungi silap dan salah dalam penyampaiannya. Semoga kita saling betul membetuli sesama kita. WaLLAHu a'lam...