Monday, August 17, 2009

Peliharalah lidahmu : Orang-orang beriman tidak akan berbohong

بسم الله الرحمن الرحيم

Seorang sahabat bertanya, “Ya RasuluLLAH, apakah mungkin seorang mukmin bersifat penakut?” Beliau menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda SAW. ditanya lagi, “Apakah mungkin ia bersifat kedekut?” Nabi SAW. menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda ditanya lagi, “Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pembohong?” Nabi SAW menjawab, “Tidak, tidak mungkin.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Muhammad bin Ahmad, dari Shafwan bin Salim diceritakan, suatu ketika RasuluLLAH SAW. ditanya, “Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?” Jawab RasuluLLAH “Ya, mungkin,”, “Apakah mungkin seorang mukmin itu penakut?” Jawab Rasulullah “Ya, mungkin.” “Apakah mungkin seorang mukmin itu pembohong?” Jawab Rasulullah “Tidak!”

Sedutan hadis di atas memberi maksud bahawa ada kemungkinan orang-orang beriman itu bersifat kedekut, kikir dan bakhil. Dan ada pula kemungkinan orang-orang beriman itu bersifat penakut, tidak tahan diugut dan seumpamanya. Tetapi RasuluLLAH S.A.W bertegas bahawa orang-orang beriman sekali-kali tidak akan berbohong. Orang-orang beriman tidak akan berbohong, kerana berbohong dan berdusta itu adalah ciri-ciri orang munafiq.

Sabda RasuluLLAH S.A.W: “Tanda-tanda orang munafiq itu tiga, apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia dia berjanji dia menyalahi janjinya, apabila dia diberi amanah dia khianati”

Orang-orang munafiq diancam dengan neraka bersama-sama dengan orang kafir.

"Khabarkan kepada orang-orang yang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih." (An-Nisaa': 138)

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka." (An-Nisaa': 142)

ALLAH S.W.T telah menegaskan dalam al-Quran bahawa orang-orang yang berbohong bukanlah golongan beriman kepada ALLAH.

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan merupakan orang yang tidak beriman kepada ALLAH. Mereka itu pendusta" (Surah an-Nahl: 105)

Sahabat-sahabiyyah, muslimin muslimat, para pejuang Islam sekalian,

Berbohong adalah salah satu daripada ciri-ciri orang munafiq, yang kita selaku orang yang mengaku beriman kepada ALLAH mesti jauhi. Jauhilah berbohong dan berkata dusta kerana sikap demikian akan menjatuhkan maruah, menghilangkan kepercayaan dan melunturkan rasa hormat orang kepada kita.

Sebagai daei dan pejuang Islam, sikap suka berdusta akan memalitkan imej buruk bukan shaja kepada diri sendiri, malah akan turut memberi persepsi buruk terhadap dakwah yang disampaikan. Penerimaan mad’u kepada dakwah akan tawar dek kerana si daei suka berbohong, pernah berbohong.

Ingatlah saudara-saudariku, elakkanlah berbohong walaupun sekali. Hindarilah berbohong sekalipun bergurau. Jauhilah berbohong sekalipun dibohongi. Tidak akan mulia orang-orang yang berbohong, bahkan akan terhina di sisi ALLAH.

Tiada istilah “bohong sunat”, melainkan bohong itu semuanya haram dan berdosa. Melainkan di beberapa tempat yang diharuskan. Harus berbohong demi mendamaikan dua pihak yang bertelagah. Harus jua berbohong jika maslahahnya menyelamatkan maruah dan aqidah. “Harus” dalam ertikata tidak melampaui had yang dibenarkan, dan tidak pula berbohong itu sampai kepada peringkat “sunat”. “Bohong sunat” hanyalah fatwa songsang daripada orang-orang yang suka berbohong dan ingin menghalalkan pembohongannya.

Adapun diceritakan bahawa nabi Ibrahim pernah “berbohong”. Persitiwa “berbohong” itu dikatakan menjadi sebab Nabi Ibrahim menolak permintaan manusia untuk mendapatkan syafaatnya (hingga sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W, barulah mendapat syafaat). Nabi Ibrahim sendiri berasa gementar dengan suasana kemurkaan ALLAH pada hari tersebut dan memikirkan kalau-kalau ALLAH memurkai baginda disebabkan peristiwa baginda pernah berbohong.

Hadis Sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim yang merakam bahawa Nabi Muhammad pernah bersabda: “La yakdzib Ibrahimu illa tsalatsa kadzabat (Tidak pernah berbohong Nabi Ibrahim a.s. kecuali dalam tiga peristiwa);

Pertama, sabda nabi Ibrahim: Bal fa’alahu kabiruhum hadza (Patung besar itu yang melakukannya) QS. al-Anbiya’: 63.

Kedua, perkataan: Inni saqim (Sesungguhnya saya sakit) QS. ash-Shaffat: 89.

Yang ketiga adalah perkataan Ibrahim tentang Siti Sarah (isterinya) ketika ditanya oleh Raja yang zalim, ia menjawab: Hadzihi ukhti (ini adalah saudariku).”

Mungkinkah seorang nabi seperti Nabi Ibrahim yang maksum berbohong? Dalil-dali di atas di bahas oleh ulama seperti Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani (W. 852 H/ 1448 M) menghurai hadis tersebut dalam kitabnya Fathul Bari Bisyarhi Shahihil Bukhari dan Imam an-Nawawi ( W. 676 H/ 1277 M) dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Shahih Muslim Ibnul Hajjaj; bahwa tiga perkataan Nabi Ibrahim tersebut merupakan bentuk Tauriyah (Hal menampakkan di luar yang dimaksudkan) dan hal itu bukanlah suatu pembohongan apabila tiga perkataan tersebut difahami secara mendalam. Nabi Ibrahim menyampaikannya dalam keadaan yang mengandung dua pengertian (maksud) dan apabila keadaan tersebut difahami lebih mendalam oleh pendengarnya maka akan diketahui bahawa Nabi Ibrahim tidaklah berbohong.

Maka menurut sebagian Ulama, takwil tiga perkataan Nabi Ibrahim itu adalah; Pertama, Bal fa’alahu kabiruhum hadza (Patung besar itu yang melakukannya) sebenarnya yang menghancurkan berhala-berhala yang kecil itu adalah patung yang paling besar kerana sebab dialah aku (Ibrahim) yang melakukannya (isnad majazi). Kedua, Inni Saqimun (saya sakit) maksudnya aku akan sakit, kerana setiap manusia akan mati, dan pada umumnya kematian didahului oleh sakit. Makna perkataan nabi Ibrahim tersebut selari dengan firman ALLAH Innaka mayyitun wa innahum mayyitun (Sesungguhnya engkau [Muhammad] akan mati dan mereka juga akan mati) QS. az-Zumar: 30.

Ketiga, Hadzihi ukhti (ini saudariku) maksudnya saudaraku dalam iman dan Islam (fil ukhuwwah al-Islamiyyah) bukan saudara dalam nasab keturunan. Jika Nabi Ibrahim mengatakan hadzihi zaujati (ini adalah isteriku) maka Sarah akan dirampas oleh Raja yang zalim tersebut.

Perhatikan tutur kata kita seharian. Apakah terselit perkataan dusta dan bohong sepanjang hari kita berurusan dengan lidah kita? Sesungguhnya perkataan dusta dan bohong itu kelak akan menyebabkan kita merana di sana. Di dunia pun orang sudah hilang percaya kepada kita, di akhirat sana. Sedangkan nabi-nabi gerun dan gementar pada hari akhirat dek kerana ALLAH menunjukkan kemurkaan-Nya kepada para penderhaka-Nya di dunia. Para nabi takut kalau-kalau ada kesilapan mereka sekalipun kecil menyebabkan ALLAH murka. Maka siapalah kita untuk berdiri teguh, tenang dan tidak cuak pada hari tersebut dek kerana dosa-dosa kita yang sengaja dan tidak disengajakan, yang terang mahupun sembunyi. Malah dosa-dosa lidah kita yang selalu kita lalai daripadanya menyebabkan hisab kita menjadi sesuatu yang mengerikan.

Jauhilah berbohong sekalipun bergurau. RasuluLLAH juga pernah bergurau, tetapi baginda tidak sama sekali berbohong dalam gurauannya. Perhatikanlah, jika berbohong hanya untuk bergurau pun, si pendengar akan mula mempersoalkan kebenaran kata-kata si penutur untuk percakapan seterusnya sekalipun perkataan seterusnya itu kita cuba nyatakan yang benar. Jika berbohong dalam gurauan sekalipun sudah menyebabkan orang hilang percaya, apatah lagi berbohong secara serius. Laknat ALLAH ke atas orang-orang yang suka berbohong.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Berbohong bukanlah akhlak seorang muslim yang beriman. Bukan jua sifat para daei dan pejuang gerakan Islam. Elakkan diri kita berbohong dalam gerak kerja dakwah kita. Namun kita bukanlah maksum. Jika kita pernah berbohong kepada manusia, mohon maaflah kepadanya dan berazamlah untuk tidak mengulanginya. Mohon ampun dari ALLAH agar membersihkan lidah kita dari dosa-dosa bohong dan fitnah. Tutur kata lidah lebih tajam dar mata pedang. Ia mampu mencederakan manusia. Ia mampu mencetuskan huru hara. Ia mampu menyalakan api peperangan. Ia akan menjadi bebanan di hari hisab segala amalan. Lidah jua mampu menyatu-padukan manusia. Lidah juga mampu medamaikan manusia. Lidah juga boleh membantu meringankan hisab di sana. Terpulang kepada kita pemiliknya. Menjaga lidah bukan hanya dibulan puasa dek kerana takut hanya lapar dan dahaga. Menjaga lidah adalah kemestian sepanjang masa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada ALLah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain antaranya bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus pula lidahnya. Dan seseorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatan lidahnya" (Riwayat Ibnu Adid-Dunya)

Jadi, sebagai orang yang beriman, jauhkanlah diri daripada kejahatan lidah, mengeluarkan kata-kata dusta.

Firman Allah yang bermaksud: "Jauhkanlah perkataan-perkataan dusta" (Surah al-Haj: 30)

Marilah kita sama sama berdoa memohon ALLAH membantu kita memelihara tutur kata kita agar kita terhindar dari perkataan bohong dan dusta.

Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa lidah dan tutur kata kami. Peliharakah lidah kami daripada berkata dusta, jauhkan lidah kami dari perkataan mengadu domba, hindari lidah ami dari kata-kata nista dan pencetus huru-hara. Kurniakan kami lidah yang fasih tutur bicara, yang menyeru umat manusia kepada jalan yang Engkau redhai. Jadikanlah lidah kami tutur katanya menyatupadukan umat manusia. Bantulah lidah kami dalam mengucapkan zikir kepada-Mu. Wahai ALLAH, Engkau yang menciptakan lidah kami, berikanlah segala kebaikan kepada lidah kami ini, hidarilah segara keburukan daripadanya. Mudah-mudahan kami dijauhi dari laknat-Mu.

Saudara-saudari, para daei pejuang-pejuang Islam,

Andaikata diriku ini pernah berbohong kepada kalian, maafkanlah daku. Perbetulkan lah aku jika didapati aku tersasar kata-kataku. Aku manusia yang lemah. Lidahku yang tidak bertulang ini mungkin terkadang melukakan hati kalian dengan kata-kata dusta. Tegurlah aku, jangan biarkan aku meneruskan perkataan bohongku.

Berusahalah agar sifat benar menjadi pegangan hidup kita. Ajarlah diri kita untuk membenci berbohong. Biarlah akhlak Islamiyyah ini menjadi syiar kita umat Islam, para pendokong gerakan Islam. Biarlah suatu hari nanti orang bukan Islam akan penuh yakin mempercayai kata-kata orang beriman apabila kita berkata:

"Percayalah kata-kataku, aku tidak akan berbohong kepadamu kerana aku adalah orang beriman.."

WaLLAHu a’lam...



Saturday, August 1, 2009

Marilah bersama-sama menjadi pejuang Islam

بسم الله الرحمن الرحيم


Sahabat-sahabiyah, saudara saudari muslimin muslimat sekalian,

Hidup kita di dunia hanyalah sementara. Itulah ungkapan peringatan yang selalu kita dengar agar kita tidak terus leka. Dengan ungkapan itulah membuatkan kita teringat akan datang suatu hari nanti di mana kita akan meninggalkan dunia, bertemu ALLAH 'Azzawajalla.

Kita hidup di dunia ini adalah atas qudrah dan iradah ALLAH. Dia tidak menciptakan kita dengan tujuan yang sia-sia. Dia adalah Tuhan kita yang Maha Bijaksana, Maha Agung serta Kekuasaan-Nya meliputi segala-galanya. Maka mustahil bagi-Nya untuk melakukan sesuatu yang sia-sia tanpa objektif.

Setelah kita fahami bahawa ALLAH menciptakan kita untuk beribadah kepadanya, dan kita fahami amanah kita sebagai khalifah di muka bumi, maka kita sewajibnya melaksanakan titah perintah-Nya tanpa ragu-ragu. Sebagai orang-orang yang mengaku beriman kepada ALLAH, kita akan bersungguh-sungguh dalam mengejar ganjaran dan keredhaan ALLAH S.W.T tanpa rasa takut, lemah dan berputus asa - kerana tempoh hidup kita di dunia hanya sekelumit sahaja berbanding dengan hari akhirat yang kekal selama-lamanya. Beruntunglah orang-orang beriman, yang berjuang di jalan ALLAH dengan harta dan jiwa raganya, manakala rugi besarlah kepada sekalian penentang agama ALLAH, yang bongkak dan sombong kepada-Nya, yang degil lagi keras kepala terhadap peringatan-Nya.

Dunia hari ini memperlihatkan Islam berada ditahap yang amat getir. Islam kembali menjadi dagang. Islam menjadi asing sekalipun dalam hati orang-orang yang mengaku beragama Islam. Islam menjadi sesuatu yang pelik untuk diamalkan. Dan RasuluLLAH S.A.W menyatakan, beruntunglah orang-orang 'dagang, asing dan pelik'. Beruntunglah orang-orang yang masih utuh aqidahnya, kental jiwanya, tetap pendiriannya bersama-sama Islam dikala umat manusia amnya, umat Islam khasnya yang hanyut bersama arus jahiliyyah yang melanda umat akhir zaman.

Sahabat sahabiyyah para pejuang Islam sekalian,

Kita perlu meletakkan diri kita bersama-sama dengan arus perjuangan Islam dalam melawan arus jahiliyyah yang dimanipulasi oleh pendokong-pendokong ideologi kuffar yang sangat bencikan kedaulatan Islam di muka bumi. Kitalah generasi yang perlu bergerak menyambung mata-mata rantai perjuangan yang digalas oleh generasi terdahulu. Ingatlah sekiranya kita mengelak dari perjuangan ini, ALLAH tidak akan rugi sedikitpun, malah kitalah sebenarnya akan rugi. ALLAH pasti akan menggantikan kaum lain, pihak lain, untuk terus menyambung perjuangan ini jika kita enggan. Janji ALLAH pasti.

Sebagai pejuang Islam, beberapa aspek pembinaan diri perlu dilakukan agar kita tidak mudah dihanyutkan arus jahiliyyah yang menggila. Ciri-ciri pejuang Islam yang dapat kita petik daripada ayat di atas [surah At-Taubah:112]:

1) At-ta~ibuun - orang-orang yang sentiasa bertaubat
2) Al-'abiduun - orang-orang yang sentiasa beribadah
3) Al-Hamiduun - orang-orang yang sentiasa memuji ALLAH
4) As-saa-ihuun - orang-orang yang keluar menuntut ilmu, berjihad
5) Ar-Raaki'uun - orang-orang yang ruku'
6) As-saajiduun - orang-orang yang sujud
7) Al-Amiruuna bil Ma'ruf - orang-orang yang menyeru manusia kepada perkara ma'ruf (baik)
8) An-Nahuna 'anil Munkar - orang-orang yang mencegah manusia darpada perkara mungkar
9) Al-hafizhuuna lihududiLLAH - orang-orang yang menjada had-had (hukum-hukum) ALLAH.

Maka sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman pejuang-pejuang Islam itu , yakni syurga ALLAH.

Ciri-ciri pejuang Islam yang disebutkan di atas perlu kita terapkan dalam kehidupan harian kita dan berusaha semampu boleh untuk memperoleh kesemua ciri tersebut.

Malang sekali sekiranya akhlak dan identiti orang-orang yang mengaku beriman dan pejuang islam memiliki ciri-ciri jahiliyyah seperti orang lain. Moga diri kita, ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, anak cucu dan keturunan kita terhindar dari malapetaka jahiliyyah yang melanda. Bersama-samalah kita meletakkan diri kita sebagai pejuang Islam. Mudah-mudahan, anak cucu kita turut mewarisi ciri-ciri tersebut. Sekalipun Islam belum menang di zaman kita, yakinlah ALLAH akan memberikan kemenangan kepada generasi anak cucu kita. Syaratnya, persiapannya adalah bermula dari kita. Bukanlah kita yang memulakan perjuangan ini, dan jangan pula kita yang mengakhirinya.

WaLLAHU a'lam.

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP