Manusia angkuh tidak mengambil iktibar
بسم الله الرحمن الرحيم
ألمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ (31
Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakannya dan mereka tidak lagi pulang kepada mereka
وَإِنْ كُلُّ لَّمَّا جَمِيْعُ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ (32
Dan setiap orang dari mereka pasti akan dihadirkan di hadapan Kami
[Surah Yasin 31-32]
Dua ayat dari surah Yasin di atas, sering kita baca ayatnya dan kadang-kadang pula kit abaca maksudnya. Namun berapa ramaikah antara kita memahami dan menhayati peringatan ALLAH tersebut. Bukankah kebinasaan umat-umat terdahulu adalah akibat daripada kesombongan dan keangkuhan mereka terhadap ayat-ayat serta peringatan-peringatan ALLAH melalui para Rasul-Nya, sedang mereka itu tidak sekali-kali dapat kembali menceritakan kepada generasi selepas mereka bagaimana mereka dimusnahkan. Ketidak-pulangan mereka bukanlah bererti hukuman mereka sampai di situ sahaja, bahkan mereka akan kembali menghadap ALLAH pada hari yang dijanjikan-Nya.
Maka apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran dan mahu terus berdegil membelakangkan teguran-teguran ALLAH? Sedangkan jika seekor haiwan melihat ‘rakannya’ binasa akibat sesuatu, ia akan terus lari mengelak daripada menjadi binasa seperti rakannya itu. Akan tetapi kebanyakan manusia sering pula melakukan perkara yang sama, sedangkan sudah mengetahui bahawa perlakuan itulah yang telah memusnahkan umat-umat terdahulu. Begitulah rupa manusia yang angkuh sekalipun ianya tidak punya apa-apa. Manusia bongkak dengan kelebihan yang ALLAH pinjamkan kepadanya. Lantaran itu, semuanya menjadi hijab yang menutupi hatinya daripada mengambil ibrah dan pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang menimpa umat-umat sebelum mereka.
Lebih-lebih lagi umat manusia akhir zaman ini. Sekalipun ramai yang mengetahui bahawa dunia semakin sampai ke penghujungnya, mereka tetap angkuh dan berdegil terhadap ayat-ayat ALLAH. Malah mereka terus berusaha 'mencari' jalan untuk 'melawan' kuasa ALLAH. Malah musuh-musuh Islam terus pula meracuni fikiran umat manusia dengan propaganda bahawa dengan kecanggihan teknologi, manusia boleh selamat dari bala yang ditimpa kepda mereka. Mereka bagaikan boleh menyelamatkan diri dari dibinasakan dengan kecanggihan teknologi. Lihat sahaja proaganda filem 2012. Angkuhnya manusia. Kisah-kisah kebinasaan umat terdahulu tidak menjadi pengajaran kepada mereka, melainkan hanya kepada orang-orang yang bertaqwa sahaja.
Mansisa disuruh mentadbir dunia dengan ketetapan-ketetapan yang digazet oleh ALLAH, namun kebanyakan manusia memilih hukum rekaan sendiri dan hukum ALLAH yang dipinda-pinda menurut hawa nafsu mereka. Walhal, sejarah telah membuktikan umat terdahulu binasa kerana hal yang sama. Manusia tidak punya formula ajaib untuk memulih penyakit umat, tetapi mereka menolak formula yang ALLAH kirim melalui Rasul-rasul-Nya. Mereka menolak mentah-mentah formula iman dan taqwa.
Sekarang dunia menuju kepada kehancuran. Kehancuran fizikal disebabkan kerakusan tangan-tangan manusia. Dan juga kehancuran akhlak, moral dan spiritual umat manusia. Sekalipun diambang kehancuran, manusia masih tidak tebuka hati untuk kembali kepada ajaran ALLAH bagi memulih keadaan. Manusia terus bongkak dan berlagak dengan ilmu dan kelebihan diri sendiri. Mereka masih 'selamat' kerana ALLAH maha ar-Rahman. Tetapi mereka lupa, salah satu nama ALLAH adalah al-Jabbar.