Perutusan Ramadhan 1431 H
BismiLLAHi-rRahmani-rRahim...
يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
"Hai Orang-orang beriman, telah ditulis (difardhukan) ke atas kamu Puasa sebagaimana telah ditulis (difardhukan) ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"
Ramadhan bertandang lagi. Orang-orang beriman ternanti-nanti akan kedatangannya. Manakala orang-orang fasiq gelisah dengannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang ternanti-nanti kedatangan bulan yang penuh barakah ini dengan segala persediaan yang mencukupi. Biarlah Ramadhan kali ini memberi suatu makna pengabdian diri yang terbaik selama hidup kita sehingga hari ini.
ALLAH menjadikan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. ALLAH menciptakan manusia dalam keadaan pelbagai rupa, warna kulit, bangsa dan keturunan untuk manusia mengenali antara satu sama lain. Dalam kewujudan bilangan manusia yang berbilion-bilion sejak zaman dahulu hingg kini, sehinggalah pula hari kiamat, kualifikasi darjat kemuliaan manusia di sisi ALLAH hanyalah taqwa. Barangsiapa yang paling bertaqwa kepada-Nya, pastilah dia yang paling mulia. ALLAH tidak memandang manusia itu cantik atau hodoh, hitam atau putih, Melayu atau Cina, Arab atau Ajam, bos atau kuli, akan tetapi nilai kemuliaan manusia adalah Taqwa atau pun tidak. Semakin tinggi darjah ketaqwaan manusia, semakin tinggilah pula darjat kemuliaannya di sisi ALLAH.
Apa itu Taqwa? Menurut takrif mudah, taqwa adalah imtitsalul awamir, wajtinabun-nawahi (melaksanakan segala perintah, meninggalkan segala larangan). Menurut Sayidina Umar al-Khattab, “ Taqwa adalah umpama kamu berjalan penuh hati-hati di dalam hutan yang penuh dengan duri dan onak, supaya tidak terpijak duri dan onak tersebut.”
Dalam kesibukan kita mengharungi hidup di dunia, kita sering lupa akan peringatan-peringatan ALLAH. Sehingga ada yang mula mencari kemuliaan-kemuliaan duniawi. Jesteru itu khutbah Jumaat adalah satu program khas mingguan yang ALLAH sediakan untuk kita hamba-hambanya, yang di dalamnya mengingatkan kita bahawa hanya dengan Taqwa sahaja kita akan menjadi mulia di sisi ALLAH.
Apabila ALLAH menetapkan bahawa nilai kemuliaan manusia adalah hanya berdasarkan Taqwa, sudah tentu ALLAH menyediakan mekanisme-mekanisme khusus untuk hamba-hamba-Nya berusaha mencapai ketinggian tahap ketaqwaan. ALLAH tidak membiarkan manusia terkapai-kapai mencari jalan-jalan taqwa sendirian. ALLAH menunjukkan kaedahnya. ALLAH memberitahu formulanya. ALLAH menghadiahkan kepada kita tangga khas untuk mencapai darjat Taqwa. Maka, fadhu puasa dalam bulan Ramadhan adalah salah satu hadiah istimewa daripada ALLAH untuk memudahkan kita mendapatkan nilai taqwa yang tinggi.
Marilah sama-sama kita berusaha menggandakan amalan kita dalam bulan Ramadhan kali ini. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH membantu kta dalam mengerjakan ibadah kepada-Nya. Selamat Berpuasa. Salam Ramadhan el-Mubarak.